KENYATAAN MEDIA FITNAH IBADAH HAJI NURUL IZZAH WAJAR DIKECAM

KENYATAAN MEDIA
FITNAH IBADAH HAJI NURUL IZZAH WAJAR DIKECAM

11 Jun 2025 | Rabu

Saya, selaku Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas, mengecam dengan sekeras-kerasnya penyebaran fitnah dan tohmahan jahat terhadap Nurul Izzah Anwar berhubung pelaksanaan ibadah Haji beliau dan suami baru-baru ini.

Tuduhan kononnya beliau menggunakan jet peribadi dan kemudahan mewah yang ditaja adalah satu fitnah keji dan tidak berasas, yang jelas bermotif politik murahan untuk mencemarkan imej beliau sebagai pemimpin muda yang berprinsip, berintegriti dan bersederhana.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menghormati dan menyanjung tinggi sesiapa sahaja yang berpeluang menunaikan Haji. Ianya satu ibadah suci yang tidak wajar dijadikan bahan cercaan atau modal politik murahan.

Seperti yang dijelaskan sendiri oleh Nurul Izzah, ibadah haji beliau dan suami ditunaikan menggunakan wang simpanan peribadi, melalui agensi pelancongan berlesen dan menggunakan visa mujamalah yang sah. Beliau dan suami menaiki penerbangan komersial biasa, bukan jet peribadi seperti yang difitnah.

Penafian rasmi telah dibuat oleh Nurul Izzah sendiri melalui laman Facebook beliau pada 8 Jun 2025 (facebook.com/nurulizzahofficial) dan disahkan semula melalui laporan media seperti Sinar Harian (“Tiada jet peribadi, Haji guna wang sendiri” – 9 Jun 2025) dan Malaysiakini (“Nurul Izzah nafi guna jet peribadi ke Makkah” – 9 Jun 2025).

Sehubungan itu, saya menuntut agar semua pihak yang telah menyebarkan kandungan palsu ini segera menarik balik dan memadamkan posting berkenaan, serta memohon maaf secara terbuka.

Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan politik kebencian dan fitnah yang semakin berleluasa. Politik matang memerlukan fakta, hujah dan adab, bukan kebencian dan pembohongan.

Sebagai Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas, saya berdiri teguh bersama Nurul Izzah dan mengecam sebarang usaha untuk mencemar nama baik beliau serta mempermainkan isu ibadah yang suci ini.

“Sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan.” (Surah Al-Baqarah: 191)

Kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap mana-mana individu atau pihak yang terus menyebarkan fitnah ini.

ZAINUDDIN MOHAMED
Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas

    Comments are closed

    © 2025 KEADILAN KEPALA BATAS | Design Oleh: Chillocreative