Tarikh: 26 Julai 2025
Mesyuarat Jawatankuasa Cabang KEADILAN Kepala Batas Bil. 3/2025 telah diadakan pada
26 Julai 2025 dan dipengerusikan oleh Ketua Cabang, Sdr. Zainuddin Mohamed.
Mesyuarat ini telah membincangkan beberapa perkara penting yang menyentuh tentang
kesiapsiagaan organisasi parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang
semakin hampir.
Dalam mesyuarat tersebut, Ketua Cabang memaklumkan tentang peletakan jawatan Sdr.
Mohd Fairuz Mazlan sebagai Setiausaha Pengelola Cabang atas beberapa kekangan yang
tidak dapat dielakkan. Walaupun meletakkan jawatan, beliau tetap menyatakan sokongan
padu terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Parti serta
kepercayaan beliau terhadap kepimpinan Sdr. Zainuddin Mohamed sebagai Ketua
Cabang. Bagi mengisi kekosongan tersebut, Ketua Cabang telah bersetuju melantik Sdr.
Ahmad Azanis Abdul Rahman sebagai Setiausaha Pengelola Cabang yang baharu berkuat
kuasa pada 26 Julai 2025.
Mesyuarat turut membincangkan cadangan penganjuran pemukiman melibatkan Ahli
Jawatankuasa Cabang, termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Cabang.
Tujuan utama pemukiman ini adalah untuk membincangkan hala tuju strategik Cabang
Kepala Batas dalam mendepani cabaran politik semasa, selain memperkukuh pengurusan
dan urus tadbir parti di peringkat cabang, ranting serta semua lantikan politik.
Pemukiman ini diharap dapat menjadi platform penyelarasan gerak kerja antara sayap
sayap parti dan memastikan strategi parti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam perkembangan lain, Ketua Cabang turut memaklumkan bahawa satu lawatan ke
Pusat NADI Pinang Tunggal akan diadakan pada 2 Ogos 2025. Lawatan ini akan melibatkan
beberapa pimpinan komuniti dan bertujuan untuk mendapatkan penerangan lanjut
berkenaan fungsi serta peranan Pusat NADI kepada masyarakat setempat. Inisiatif ini
dilihat penting dalam usaha memperluas jaringan kerjasama strategik antara parti dan
agensi-agensi berkaitan, terutamanya dalam bidang pembangunan komuniti dan
pengupayaan rakyat.
Keseluruhan mesyuarat ini mencerminkan iltizam Cabang KEADILAN Kepala Batas untuk
terus memperkukuh struktur dalaman parti, menyusun semula strategi menghadapi
PRU16, serta mendekati masyarakat secara lebih sistematik dan berkesan demi
menjayakan agenda reformasi dan perpaduan nasional yang dibawa oleh kepimpinan
tertinggi parti.
Sekia, terima kasih.
Abdul Rahim Bin Abdul Rani
Ketua Penerangan
KEADILAN Cabang Kepala Batas
© 2025 KEADILAN KEPALA BATAS | Design Oleh: Chillocreative