ISU PEMASANGAN JALUR GEMILANG SECARA SALAH: KEPERLUAN HUKUMAN KOMPAUN BAGI ELAK BERULANG

9 Ogos 2025 | Sabtu

Saya merujuk kepada insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang berlaku di Kepala Batas pada hari ini, melibatkan seorang pemilik kedai perkakasan, Feng Jin Zhen, di hadapan premis perniagaannya di Pusat Perniagaan Taman Bertam Permata. Saya berharap tindakan tersebut bukanlah disengajakan.

Saya berpandangan, bagi kes yang berlaku akibat kecuaian atau tanpa niat menghina, hukuman berbentuk kompaun perlu dikenakan. Denda ini boleh menjadi langkah pencegahan dan mendidik agar setiap rakyat Malaysia lebih peka serta teliti dalam memastikan bendera dipasang dengan cara yang betul. Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat untuk memeriksa kedudukan bendera sebelum mengibarkannya.

Saya dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dibuat dan saya berharap pihak polis dapat menyiasat serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang unsur sengaja. Setakat ini, individu terlibat telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak berniat berbuat demikian dan memaklumkan bahawa bendera telah dibetulkan sebaik beliau menyedari kesilapan tersebut. Namun begitu, babak pembetulan itu tidak dirakam, sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi.

Sepanjang tahun ini, telah berlaku beberapa insiden melibatkan pemasangan Jalur Gemilang secara salah, termasuk kes di SJKC Chung Hua, Port Dickson pada 1 Ogos 2025 di mana bendera dipasang terbalik akibat kecuaian pekerja, serta beberapa kes lain yang berpunca daripada kelalaian semasa persiapan. Walaupun kebanyakannya adalah tidak disengajakan, ia tetap menjejaskan maruah simbol negara.

Walau apa pun penjelasan yang diberikan, saya tetap kecewa kerana tidak mungkin kedua-dua individu yang terlibat tidak menyedari kedudukan bendera tersebut sebelum ia dinaikkan. Insiden seperti ini tidak sepatutnya berulang.

Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan latar belakang, untuk memasang dan menyemak kedudukan Jalur Gemilang sebelum dikibarkan. Saya juga mengajak seluruh rakyat Malaysia mengambil kesempatan sempena sambutan Hari Kebangsaan ini untuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, kenderaan dan kawasan masing-masing, sebagai tanda cinta dan kesetiaan kepada negara.

Saya mengulangi saranan agar pihak kerajaan menetapkan hukuman dalam bentuk kompaun kepada mana-mana individu yang memasang, menggantung atau mengibarkan Jalur Gemilang secara salah, supaya maruah dan kedaulatan simbol negara ini terus terpelihara.

ZAINUDDIN MOHAMED
Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas

    Comments are closed

    © 2025 KEADILAN KEPALA BATAS | Design Oleh: Chillocreative