Blog

  • HENTIKAN POLITIK MURAHAN ATAS KES TRAGEDI ZARA QAIRINA

    HENTIKAN POLITIK MURAHAN ATAS KES TRAGEDI ZARA QAIRINA

    13 Ogos 2025 | Rabu

    Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang mempolitikkan tragedi pemergian adik Zara Qairina demi meraih keuntungan politik sempit. Keselamatan dan nyawa seorang murid adalah isu yang terlalu besar untuk dijadikan bahan serangan politik, apatah lagi terhadap YB Menteri Pendidikan yang sejak awal telah mengambil tindakan segera.

    Pada 16 Julai 2025 sekitar jam 3 pagi, adik Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di bawah asrama perempuan sekolahnya di Papar. Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, dan dikebumikan pada 18 Julai 2025 di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang. Pada 9 Ogos 2025, kubur Allahyarham telah digali semula untuk tujuan bedah siasat. Proses tersebut selesai pada 10 Ogos dan jenazah dikebumikan semula awal pagi 11 Ogos 2025.

    Sejurus mendapat maklumat tentang kejadian pada 16 Julai, YB Menteri Pendidikan mengarahkan siasatan penuh oleh KPM, memastikan pihak kementerian memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia, dan mempastikan keluarga mangsa menerima sokongan sewajarnya. Pada 17 Julai 2025, YB Menteri turun sendiri menziarahi keluarga Allahyarhamah di hospital, menyampaikan takziah, mendengar penjelasan, dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan secara telus dan adil.

    Kini, siasatan kes ini telah diambil alih oleh pasukan khas dari Bukit Aman yang melibatkan sembilan anggota bagi memastikan siasatan berjalan secara profesional. Laporan penuh post-mortem sedang ditunggu. KPM di bawah kepimpinan YB Menteri terus memberi kerjasama penuh, dengan jaminan tiada sesiapa akan dilindungi sekiranya terbukti bersalah. Saya bersama seluruh kepimpinan KEADILAN Cabang Kepala Batas menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap tragedi ini, dan berharap siasatan yang teliti serta telus akan memberikan keadilan kepada semua pihak. Seperti yang ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, siasatan akan dijalankan tanpa sebarang kompromi atau perlindungan, tanpa mengira latar belakang individu terlibat. Inilah prinsip kerajaan MADANI.

    Kami menghargai keprihatinan rakyat yang terus bersuara demi mencari kebenaran. Namun, dalam semangat yang sama, kami mengingatkan bahawa setiap tindakan dan kenyataan mestilah tidak mengganggu proses siasatan dan tidak mengelirukan masyarakat dengan maklumat yang tidak sahih.

    Dalam masa yang sama, kami mempersoalkan mengapa kes lain yang turut meragut nyawa pelajar tidak menerima tekanan politik dan liputan media yang sama. Contohnya, kes Allahyarham Wan Ahmad Faris, pelajar tahfiz yang ditemui mati tergantung di asrama pada 12 Disember 2013. Mahkamah Koroner pada 2016 telah mengesahkan kematiannya berpunca daripada perbuatan jenayah, namun sehingga kini tiada tangkapan dibuat. Keluarganya terpaksa menunggu lebih sedekad sebelum memfailkan saman sivil pada 28 Julai 2025 untuk memaksa siasatan dibuka semula.

    Persoalannya, mengapa ada pihak memilih untuk bersuara lantang hanya dalam kes tertentu, tetapi membisu dalam kes lain yang sama tragis? Sikap pilih kasih sebegini bukan sahaja tidak adil kepada mangsa dan keluarga, malah mencemarkan usaha untuk menegakkan keadilan yang saksama kepada semua.

    Keselamatan murid dan pelajar adalah tanggungjawab bersama yang melibatkan sekolah, KPM, komuniti dan ibu bapa, bukannya dipikul seorang individu semata-mata. Justeru, proses siasatan mestilah dihormati dan tidak dipengaruhi tekanan politik. Penyebaran fitnah yang mengganggu siasatan dan mencemar nama baik boleh dikenakan tindakan undang-undang.

    Kami menyeru seluruh masyarakat untuk menolak politik kebencian dan bersama-sama memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. Kami yakin YB Menteri bersama KPM akan terus komited melakukan penambahbaikan menyeluruh terhadap prosedur keselamatan sekolah supaya tragedi seperti ini tidak berulang.

    Keadilan untuk semua mangsa bukan untuk modal politik.

    ZAINUDDIN MOHAMEDKetua Cabang KEADILAN Kepala Batas’UZAIR BIN MOHAMAD FADZLIKetua Angkatan Muda KEADILAN Cabang Kepala BatasHAMIZAH BINTI CHE AMATKetua Wanita KEADILAN Cabang Kepala Batas

  • ISU PEMASANGAN JALUR GEMILANG SECARA SALAH: KEPERLUAN HUKUMAN KOMPAUN BAGI ELAK BERULANG

    ISU PEMASANGAN JALUR GEMILANG SECARA SALAH: KEPERLUAN HUKUMAN KOMPAUN BAGI ELAK BERULANG

    9 Ogos 2025 | Sabtu

    Saya merujuk kepada insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang berlaku di Kepala Batas pada hari ini, melibatkan seorang pemilik kedai perkakasan, Feng Jin Zhen, di hadapan premis perniagaannya di Pusat Perniagaan Taman Bertam Permata. Saya berharap tindakan tersebut bukanlah disengajakan.

    Saya berpandangan, bagi kes yang berlaku akibat kecuaian atau tanpa niat menghina, hukuman berbentuk kompaun perlu dikenakan. Denda ini boleh menjadi langkah pencegahan dan mendidik agar setiap rakyat Malaysia lebih peka serta teliti dalam memastikan bendera dipasang dengan cara yang betul. Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat untuk memeriksa kedudukan bendera sebelum mengibarkannya.

    Saya dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dibuat dan saya berharap pihak polis dapat menyiasat serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang unsur sengaja. Setakat ini, individu terlibat telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak berniat berbuat demikian dan memaklumkan bahawa bendera telah dibetulkan sebaik beliau menyedari kesilapan tersebut. Namun begitu, babak pembetulan itu tidak dirakam, sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi.

    Sepanjang tahun ini, telah berlaku beberapa insiden melibatkan pemasangan Jalur Gemilang secara salah, termasuk kes di SJKC Chung Hua, Port Dickson pada 1 Ogos 2025 di mana bendera dipasang terbalik akibat kecuaian pekerja, serta beberapa kes lain yang berpunca daripada kelalaian semasa persiapan. Walaupun kebanyakannya adalah tidak disengajakan, ia tetap menjejaskan maruah simbol negara.

    Walau apa pun penjelasan yang diberikan, saya tetap kecewa kerana tidak mungkin kedua-dua individu yang terlibat tidak menyedari kedudukan bendera tersebut sebelum ia dinaikkan. Insiden seperti ini tidak sepatutnya berulang.

    Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan latar belakang, untuk memasang dan menyemak kedudukan Jalur Gemilang sebelum dikibarkan. Saya juga mengajak seluruh rakyat Malaysia mengambil kesempatan sempena sambutan Hari Kebangsaan ini untuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, kenderaan dan kawasan masing-masing, sebagai tanda cinta dan kesetiaan kepada negara.

    Saya mengulangi saranan agar pihak kerajaan menetapkan hukuman dalam bentuk kompaun kepada mana-mana individu yang memasang, menggantung atau mengibarkan Jalur Gemilang secara salah, supaya maruah dan kedaulatan simbol negara ini terus terpelihara.

    ZAINUDDIN MOHAMEDKetua Cabang KEADILAN Kepala Batas

  • KENYATAAN MEDIA MESYUARAT JAWATANKUASA KEADILAN CABANG KEPALA BATAS – Bil. 3

    KENYATAAN MEDIA MESYUARAT JAWATANKUASA KEADILAN CABANG KEPALA BATAS – Bil. 3

    Tarikh: 26 Julai 2025

    Mesyuarat Jawatankuasa Cabang KEADILAN Kepala Batas Bil. 3/2025 telah diadakan pada26 Julai 2025 dan dipengerusikan oleh Ketua Cabang, Sdr. Zainuddin Mohamed.Mesyuarat ini telah membincangkan beberapa perkara penting yang menyentuh tentangkesiapsiagaan organisasi parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yangsemakin hampir.

    Dalam mesyuarat tersebut, Ketua Cabang memaklumkan tentang peletakan jawatan Sdr.Mohd Fairuz Mazlan sebagai Setiausaha Pengelola Cabang atas beberapa kekangan yangtidak dapat dielakkan. Walaupun meletakkan jawatan, beliau tetap menyatakan sokonganpadu terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Parti sertakepercayaan beliau terhadap kepimpinan Sdr. Zainuddin Mohamed sebagai KetuaCabang. Bagi mengisi kekosongan tersebut, Ketua Cabang telah bersetuju melantik Sdr.Ahmad Azanis Abdul Rahman sebagai Setiausaha Pengelola Cabang yang baharu berkuatkuasa pada 26 Julai 2025.

    Mesyuarat turut membincangkan cadangan penganjuran pemukiman melibatkan AhliJawatankuasa Cabang, termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Cabang.Tujuan utama pemukiman ini adalah untuk membincangkan hala tuju strategik CabangKepala Batas dalam mendepani cabaran politik semasa, selain memperkukuh pengurusandan urus tadbir parti di peringkat cabang, ranting serta semua lantikan politik.Pemukiman ini diharap dapat menjadi platform penyelarasan gerak kerja antara sayapsayap parti dan memastikan strategi parti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

    Dalam perkembangan lain, Ketua Cabang turut memaklumkan bahawa satu lawatan kePusat NADI Pinang Tunggal akan diadakan pada 2 Ogos 2025. Lawatan ini akan melibatkanbeberapa pimpinan komuniti dan bertujuan untuk mendapatkan penerangan lanjutberkenaan fungsi serta peranan Pusat NADI kepada masyarakat setempat. Inisiatif inidilihat penting dalam usaha memperluas jaringan kerjasama strategik antara parti danagensi-agensi berkaitan, terutamanya dalam bidang pembangunan komuniti danpengupayaan rakyat.

    Keseluruhan mesyuarat ini mencerminkan iltizam Cabang KEADILAN Kepala Batas untukterus memperkukuh struktur dalaman parti, menyusun semula strategi menghadapiPRU16, serta mendekati masyarakat secara lebih sistematik dan berkesan demimenjayakan agenda reformasi dan perpaduan nasional yang dibawa oleh kepimpinantertinggi parti.

    Sekia, terima kasih.

    Abdul Rahim Bin Abdul RaniKetua PeneranganKEADILAN Cabang Kepala Batas

  • Menyikapi Kenyataan Media YB Rafizi Ramli Berhubung Isu Perlantikan Ketua Hakim Negara: Prinsip, Kesan Dan Disiplin Parti

    Menyikapi Kenyataan Media YB Rafizi Ramli Berhubung Isu Perlantikan Ketua Hakim Negara: Prinsip, Kesan Dan Disiplin Parti

    Saya mengambil maklum kenyataan media oleh YB Rafizi Ramli pada 7 Julai 2025 berkenaan isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Sebagai pimpinan dan Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), kenyataan tersebut membawa implikasi besar bukan sahaja terhadap persepsi awam terhadap institusi kehakiman, tetapi juga terhadap kestabilan politik parti dan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Presiden parti, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

    Saya menghargai kebimbangan yang dizahirkan oleh YB Rafizi. Reformasi institusi sememangnya merupakan teras perjuangan KEADILAN sejak awal penubuhannya. Namun, sebarang kenyataan terbuka yang bersifat desakan terhadap pimpinan parti dan kerajaan wajar ditangani dengan disiplin organisasi dan kebijaksanaan strategi, agar tidak mencetus kekeliruan atau menghakis keyakinan rakyat.

    Kenyataan terbuka oleh pemimpin parti terhadap keputusan kerajaan yang dipimpin oleh parti sendiri berisiko menimbulkan persepsi perpecahan dalam KEADILAN serta menggugat imej Perdana Menteri selaku peneraju kerajaan perpaduan. Ia memberi ruang kepada musuh politik untuk menangguk di air keruh dan membina naratif kelemahan dalaman parti.

    Saya menegaskan bahawa reformasi institusi perlu digerakkan secara kolektif melalui saluran dalaman parti serta platform Parlimen, tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan atau keyakinan rakyat terhadap masa depan reformasi.

    Sebagai parti reformasi yang menjunjung kebebasan bersuara, KEADILAN juga terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama, disiplin organisasi dan solidariti dalam membuat keputusan. Pandangan kritikal wajar dizahirkan secara berhemah dan berstrategi agar tidak menjadi senjata kepada pihak lawan.

    KEADILAN bukan sahaja simbol perjuangan reformasi, tetapi kini menjadi tiang utama kestabilan nasional. Maka, segala tindakan dan kenyataan pemimpinnya mestilah mencerminkan kesatuan dan keutuhan organisasi.

    Saya menyeru agar semua pimpinan dan anggota parti kembali kepada semangat kolektif, memperkukuh solidariti, mengutamakan dialog dalaman, serta menyampaikan kritikan secara konstruktif dan bertanggungjawab.

    Kepimpinan KEADILAN, termasuk YAB Perdana Menteri, kekal komited dalam melaksanakan reformasi secara berperingkat, berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Kejayaan reformasi menuntut bukan sahaja komitmen, tetapi juga kesatuan dalam kalangan kita sendiri.

    ZAINUDDIN MOHAMEDKetua Cabang KEADILAN Kepala Batas

    Pautan Facebook: http://bit.ly/46u9YT5

  • Takziah Buat Keluarga Mohd Fairus bin Mazlan

    Takziah Buat Keluarga Mohd Fairus bin Mazlan

    KEADILAN Cabang Kepala Batas ingin merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada saudara Mohd Fairus bin Mazlan, Setiausaha Pengelola Cabang, atas pemergian ayahanda tercinta, Allahyarham Mazlan bin Rossli, yang telah kembali ke rahmatullah pada 4 Julai 2025 bersamaan 8 Muharam 1447H.

    Kami mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

    Semoga saudara Fairus dan keluarga diberikan kekuatan, ketabahan serta reda dalam menghadapi kehilangan ini.

    Al-Fatihah.

    KEADILAN Cabang Kepala Batas

  • Takziah Buat Keluarga Allahyarham Zahari Bin Abdullah

    Takziah Buat Keluarga Allahyarham Zahari Bin Abdullah

    KEADILAN Cabang Kepala Batas merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Zahari bin Abdullah, anggota Ranting KEADILAN Padang Benggali dan juga ahli Jawatan Kuasa MPKK Padang Benggali, yang telah kembali ke rahmatullah pada 4 Julai 2025 bersamaan 8 Muharam 1447H.

    Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat komuniti setempat, khususnya dalam kalangan mereka yang mengenali sumbangan beliau terhadap masyarakat dan komuniti kampung.

    Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin, serta diberi kekuatan dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.

    Al-Fatihah

    KEADILAN Cabang Kepala Batas

  • Ucapan Takziah Atas Pemergian Bonda Dato’ Seri Ahmad Zakiyuddin

    Ucapan Takziah Atas Pemergian Bonda Dato’ Seri Ahmad Zakiyuddin

    Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas, Zainuddin Mohamed, merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada YBhg. Dato’ Seri Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Haji Abdul Rahman, mantan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap mantan Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas, atas pemergian bonda tercinta ke rahmatullah.

    Beliau menyifatkan pemergian seorang ibu sebagai satu kehilangan besar yang tiada galang ganti. Dalam ucapannya, beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampuni segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

    Zainuddin Mohamed turut berharap agar Dato’ Seri sekeluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat-saat penuh kesedihan ini.

    إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya jualah kita akan kembali.”

  • Tindakan Membakar Karikatur Perdana Menteri oleh Mahasiswa UMS: Suara Harus Disertai Adab

    Tindakan Membakar Karikatur Perdana Menteri oleh Mahasiswa UMS: Suara Harus Disertai Adab

    Saya memandang serius tindakan segelintir mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri semasa perhimpunan "Gempur Rasuah Sabah 2.0" yang berlangsung di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu baru-baru ini.

    Kita mengiktiraf dan menghormati hak mahasiswa untuk bersuara, berhimpun dan menyatakan pandangan terhadap isu-isu semasa termasuk tuntutan reformasi institusi serta isu integriti di Sabah. Namun, kebebasan bersuara mesti dilaksanakan dengan penuh adab dan tanggungjawab, bukan dengan provokasi yang bersifat menghina serta mencemar nilai budaya dan demokrasi.

    Tindakan membakar karikatur seorang Perdana Menteri selaku pemimpin tertinggi negara yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi bukan sahaja tidak beretika, malah merendahkan martabat perjuangan mahasiswa itu sendiri.

    Sebagai generasi pelapis, mahasiswa wajar menjadi pencetus wacana berasaskan ilmu, bukan emosi. Jika ada ketidaksetujuan terhadap dasar kerajaan, salurkan melalui saluran yang berhemah, hujah yang matang dan wadah demokrasi yang tersedia.

    Saya menyeru agar semua pihak termasuk pentadbiran universiti, masyarakat sivil dan mahasiswa memperkukuh budaya politik baru yang lebih bertamadun, progresif dan membina, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

    ZAINUDDIN MOHAMEDKetua Cabang KEADILAN Kepala Batas

  • Tiga Anggota KEADILAN Cabang Kepala Batas Dilantik Sebagai Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan

    Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada tiga anggota KEADILAN Cabang Kepala Batas, iaitu Zakir Abdul Syafiq bin Zulkiflee, Valaitham A/L Subramanian, dan Siti Nor Aishah binti Ali atas pelantikan mereka sebagai Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kepala Batas bagi sesi 2025–2027.

    Ahli Panel Penasihat ini memainkan peranan penting sebagai jambatan antara komuniti setempat dan pihak klinik dalam menyalurkan pandangan, cadangan penambahbaikan, serta membantu merancang program kesihatan yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.

    Semoga pelantikan ini memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan komuniti, dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemimpin akar umbi untuk terus berbakti.

  • KENYATAAN MEDIA FITNAH IBADAH HAJI NURUL IZZAH WAJAR DIKECAM

    KENYATAAN MEDIA FITNAH IBADAH HAJI NURUL IZZAH WAJAR DIKECAM

    KENYATAAN MEDIAFITNAH IBADAH HAJI NURUL IZZAH WAJAR DIKECAM

    11 Jun 2025 | Rabu

    Saya, selaku Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas, mengecam dengan sekeras-kerasnya penyebaran fitnah dan tohmahan jahat terhadap Nurul Izzah Anwar berhubung pelaksanaan ibadah Haji beliau dan suami baru-baru ini.

    Tuduhan kononnya beliau menggunakan jet peribadi dan kemudahan mewah yang ditaja adalah satu fitnah keji dan tidak berasas, yang jelas bermotif politik murahan untuk mencemarkan imej beliau sebagai pemimpin muda yang berprinsip, berintegriti dan bersederhana.

    Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menghormati dan menyanjung tinggi sesiapa sahaja yang berpeluang menunaikan Haji. Ianya satu ibadah suci yang tidak wajar dijadikan bahan cercaan atau modal politik murahan.

    Seperti yang dijelaskan sendiri oleh Nurul Izzah, ibadah haji beliau dan suami ditunaikan menggunakan wang simpanan peribadi, melalui agensi pelancongan berlesen dan menggunakan visa mujamalah yang sah. Beliau dan suami menaiki penerbangan komersial biasa, bukan jet peribadi seperti yang difitnah.

    Penafian rasmi telah dibuat oleh Nurul Izzah sendiri melalui laman Facebook beliau pada 8 Jun 2025 (facebook.com/nurulizzahofficial) dan disahkan semula melalui laporan media seperti Sinar Harian ("Tiada jet peribadi, Haji guna wang sendiri" – 9 Jun 2025) dan Malaysiakini ("Nurul Izzah nafi guna jet peribadi ke Makkah" – 9 Jun 2025).

    Sehubungan itu, saya menuntut agar semua pihak yang telah menyebarkan kandungan palsu ini segera menarik balik dan memadamkan posting berkenaan, serta memohon maaf secara terbuka.

    Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan politik kebencian dan fitnah yang semakin berleluasa. Politik matang memerlukan fakta, hujah dan adab, bukan kebencian dan pembohongan.

    Sebagai Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas, saya berdiri teguh bersama Nurul Izzah dan mengecam sebarang usaha untuk mencemar nama baik beliau serta mempermainkan isu ibadah yang suci ini.

    “Sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan.” (Surah Al-Baqarah: 191)

    Kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap mana-mana individu atau pihak yang terus menyebarkan fitnah ini.

    ZAINUDDIN MOHAMEDKetua Cabang KEADILAN Kepala Batas