HENTIKAN POLITIK MURAHAN ATAS KES TRAGEDI ZARA QAIRINA

13 Ogos 2025 | Rabu

Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang mempolitikkan tragedi pemergian adik Zara Qairina demi meraih keuntungan politik sempit. Keselamatan dan nyawa seorang murid adalah isu yang terlalu besar untuk dijadikan bahan serangan politik, apatah lagi terhadap YB Menteri Pendidikan yang sejak awal telah mengambil tindakan segera.

Pada 16 Julai 2025 sekitar jam 3 pagi, adik Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di bawah asrama perempuan sekolahnya di Papar. Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, dan dikebumikan pada 18 Julai 2025 di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang. Pada 9 Ogos 2025, kubur Allahyarham telah digali semula untuk tujuan bedah siasat. Proses tersebut selesai pada 10 Ogos dan jenazah dikebumikan semula awal pagi 11 Ogos 2025.

Sejurus mendapat maklumat tentang kejadian pada 16 Julai, YB Menteri Pendidikan mengarahkan siasatan penuh oleh KPM, memastikan pihak kementerian memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia, dan mempastikan keluarga mangsa menerima sokongan sewajarnya. Pada 17 Julai 2025, YB Menteri turun sendiri menziarahi keluarga Allahyarhamah di hospital, menyampaikan takziah, mendengar penjelasan, dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan secara telus dan adil.

Kini, siasatan kes ini telah diambil alih oleh pasukan khas dari Bukit Aman yang melibatkan sembilan anggota bagi memastikan siasatan berjalan secara profesional. Laporan penuh post-mortem sedang ditunggu. KPM di bawah kepimpinan YB Menteri terus memberi kerjasama penuh, dengan jaminan tiada sesiapa akan dilindungi sekiranya terbukti bersalah. Saya bersama seluruh kepimpinan KEADILAN Cabang Kepala Batas menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap tragedi ini, dan berharap siasatan yang teliti serta telus akan memberikan keadilan kepada semua pihak. Seperti yang ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, siasatan akan dijalankan tanpa sebarang kompromi atau perlindungan, tanpa mengira latar belakang individu terlibat. Inilah prinsip kerajaan MADANI.

Kami menghargai keprihatinan rakyat yang terus bersuara demi mencari kebenaran. Namun, dalam semangat yang sama, kami mengingatkan bahawa setiap tindakan dan kenyataan mestilah tidak mengganggu proses siasatan dan tidak mengelirukan masyarakat dengan maklumat yang tidak sahih.

Dalam masa yang sama, kami mempersoalkan mengapa kes lain yang turut meragut nyawa pelajar tidak menerima tekanan politik dan liputan media yang sama. Contohnya, kes Allahyarham Wan Ahmad Faris, pelajar tahfiz yang ditemui mati tergantung di asrama pada 12 Disember 2013. Mahkamah Koroner pada 2016 telah mengesahkan kematiannya berpunca daripada perbuatan jenayah, namun sehingga kini tiada tangkapan dibuat. Keluarganya terpaksa menunggu lebih sedekad sebelum memfailkan saman sivil pada 28 Julai 2025 untuk memaksa siasatan dibuka semula.

Persoalannya, mengapa ada pihak memilih untuk bersuara lantang hanya dalam kes tertentu, tetapi membisu dalam kes lain yang sama tragis? Sikap pilih kasih sebegini bukan sahaja tidak adil kepada mangsa dan keluarga, malah mencemarkan usaha untuk menegakkan keadilan yang saksama kepada semua.

Keselamatan murid dan pelajar adalah tanggungjawab bersama yang melibatkan sekolah, KPM, komuniti dan ibu bapa, bukannya dipikul seorang individu semata-mata. Justeru, proses siasatan mestilah dihormati dan tidak dipengaruhi tekanan politik. Penyebaran fitnah yang mengganggu siasatan dan mencemar nama baik boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Kami menyeru seluruh masyarakat untuk menolak politik kebencian dan bersama-sama memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. Kami yakin YB Menteri bersama KPM akan terus komited melakukan penambahbaikan menyeluruh terhadap prosedur keselamatan sekolah supaya tragedi seperti ini tidak berulang.

Keadilan untuk semua mangsa bukan untuk modal politik.

ZAINUDDIN MOHAMED
Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas
‘UZAIR BIN MOHAMAD FADZLI
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Cabang Kepala Batas
HAMIZAH BINTI CHE AMAT
Ketua Wanita KEADILAN Cabang Kepala Batas

    Comments are closed

    © 2025 KEADILAN KEPALA BATAS | Design Oleh: Chillocreative