Saya mengambil maklum kenyataan media oleh YB Rafizi Ramli pada 7 Julai 2025 berkenaan isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Sebagai pimpinan dan Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), kenyataan tersebut membawa implikasi besar bukan sahaja terhadap persepsi awam terhadap institusi kehakiman, tetapi juga terhadap kestabilan politik parti dan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Presiden parti, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Saya menghargai kebimbangan yang dizahirkan oleh YB Rafizi. Reformasi institusi sememangnya merupakan teras perjuangan KEADILAN sejak awal penubuhannya. Namun, sebarang kenyataan terbuka yang bersifat desakan terhadap pimpinan parti dan kerajaan wajar ditangani dengan disiplin organisasi dan kebijaksanaan strategi, agar tidak mencetus kekeliruan atau menghakis keyakinan rakyat.
Kenyataan terbuka oleh pemimpin parti terhadap keputusan kerajaan yang dipimpin oleh parti sendiri berisiko menimbulkan persepsi perpecahan dalam KEADILAN serta menggugat imej Perdana Menteri selaku peneraju kerajaan perpaduan. Ia memberi ruang kepada musuh politik untuk menangguk di air keruh dan membina naratif kelemahan dalaman parti.
Saya menegaskan bahawa reformasi institusi perlu digerakkan secara kolektif melalui saluran dalaman parti serta platform Parlimen, tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan atau keyakinan rakyat terhadap masa depan reformasi.
Sebagai parti reformasi yang menjunjung kebebasan bersuara, KEADILAN juga terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama, disiplin organisasi dan solidariti dalam membuat keputusan. Pandangan kritikal wajar dizahirkan secara berhemah dan berstrategi agar tidak menjadi senjata kepada pihak lawan.
KEADILAN bukan sahaja simbol perjuangan reformasi, tetapi kini menjadi tiang utama kestabilan nasional. Maka, segala tindakan dan kenyataan pemimpinnya mestilah mencerminkan kesatuan dan keutuhan organisasi.
Saya menyeru agar semua pimpinan dan anggota parti kembali kepada semangat kolektif, memperkukuh solidariti, mengutamakan dialog dalaman, serta menyampaikan kritikan secara konstruktif dan bertanggungjawab.
Kepimpinan KEADILAN, termasuk YAB Perdana Menteri, kekal komited dalam melaksanakan reformasi secara berperingkat, berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Kejayaan reformasi menuntut bukan sahaja komitmen, tetapi juga kesatuan dalam kalangan kita sendiri.
ZAINUDDIN MOHAMED
Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas
Pautan Facebook: http://bit.ly/46u9YT5
© 2025 KEADILAN KEPALA BATAS | Design Oleh: Chillocreative