Tindakan Membakar Karikatur Perdana Menteri oleh Mahasiswa UMS: Suara Harus Disertai Adab

Saya memandang serius tindakan segelintir mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri semasa perhimpunan “Gempur Rasuah Sabah 2.0” yang berlangsung di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Kita mengiktiraf dan menghormati hak mahasiswa untuk bersuara, berhimpun dan menyatakan pandangan terhadap isu-isu semasa termasuk tuntutan reformasi institusi serta isu integriti di Sabah. Namun, kebebasan bersuara mesti dilaksanakan dengan penuh adab dan tanggungjawab, bukan dengan provokasi yang bersifat menghina serta mencemar nilai budaya dan demokrasi.

Tindakan membakar karikatur seorang Perdana Menteri selaku pemimpin tertinggi negara yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi bukan sahaja tidak beretika, malah merendahkan martabat perjuangan mahasiswa itu sendiri.

Sebagai generasi pelapis, mahasiswa wajar menjadi pencetus wacana berasaskan ilmu, bukan emosi. Jika ada ketidaksetujuan terhadap dasar kerajaan, salurkan melalui saluran yang berhemah, hujah yang matang dan wadah demokrasi yang tersedia.

Saya menyeru agar semua pihak termasuk pentadbiran universiti, masyarakat sivil dan mahasiswa memperkukuh budaya politik baru yang lebih bertamadun, progresif dan membina, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

ZAINUDDIN MOHAMED
Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas

    Comments are closed

    © 2025 KEADILAN KEPALA BATAS | Design Oleh: Chillocreative